Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menafikan dakwaan seorang pemandu lori bahawa jabatan itu menyebabkan tiga tayar kenderaannya itu rosak.

Pengarah JPJ Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata, pemandu lori itu gagal memberi kerjasama kepada anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas dan turut berniat menjatuhkan imej jabatan dengan menularkan video berkenaan di media sosial.

Susulan itu, katanya, satu laporan polis dibuat bagi tujuan menafikan tohmahan yang dibuat di media sosial.

Menurutnya, ketika kejadian pada 5.25 petang semalam, sepasukan Unit Operasi JPJ Laloh sedang bersiap sedia untuk mengadakan satu operasi khas bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Krai.

"Pada masa sama, sebuah lori dengan muatan kayu balak melalui hadapan Stesen Penguat Kuasa JPJ (SPK) Laloh dari arah Gua Musang ke Kuala Krai yang disyaki membawa lebih muatan.

"Anggota operasi kemudiannya mengekori dan menahan lori dipandu lelaki berusia 45 tahun itu kira-kira dua hingga tiga kilometer dari SPK Laloh.

"Anggota operasi kemudiannya mengeluarkan satu notis arah timbang mengikut Seksyen 82(1) Agensi Pengangkutan Awam Darat 2010 dan mengarahkan pemandu untuk hadir timbang di SPK Laloh," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemandu berkenaan kemudiannya hadir untuk timbang pada 5.45 petang melalui pintu masuk utama SPK dalam keadaan melulu dan tergesa-gesa sehingga melanggar konkrit pembahagi jalan di hadapan stesen berkenaan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan berlaku kerosakan pada tiga biji tayar di sisi kanan lori dan ketika proses dokumentasi dan penimbangan, pemandu itu membuat rakaman video sebelum tularkannya di media sosial sambil meluahkan perasaan tidak puas hati kepada anggota yang bertugas.

"Selepas proses menimbang lori dilakukan, didapati muatan kayu balak yang dibawa melebihi daripada had berat dengan muatan (BDM) yang dibenarkan.

"Notis saman kesalahan lebih muatan dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik lori terbabit oleh anggota bertugas.

"Pemandu itu menandatangani notis dan menuju ke lori berkenaan sebaik diarahkan oleh anggota bertugas untuk mengalihkan lori melepasi titi timbang bagi proses penimbangan seterusnya.

"Pada masa sama, anggota JPJ mengeluarkan saman bagi kesalahan Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Barangan (GDL) yang tamat tempoh dan membawa muatan secara bahaya," katanya.

Hanif Yusabra berkata, pemandu kenderaan itu sudah menghilangkan diri tanpa dikesan selepas notis saman dikeluarkan.

"Pemandu itu gagal memberi kerjasama kepada anggota penguat kuasa dalam menjalankan tugas dan turut berniat ingin menjatuhkan imej jabatan dengan menularkan rakaman video kepada orang ramai di laman sosial.

"JPJ ingin mengingati orang awam supaya tidak menyebarkan hal yang tidak benar tanpa usul periksa. Kes diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan dan tindakan selanjutnya," katanya.

Gambar daripada video tular oleh pemandu lori di SPK Laloh sejak semalam. Foto Ihsan PDRM
Gambar daripada video tular oleh pemandu lori di SPK Laloh sejak semalam. Foto Ihsan PDRM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 5:57 PM