Siti Rohana Idris


Tanah Merah: Sebanyak 388 saman dan notis membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap kenderaan perdagangan sempena Op Khas Lebih Muatan yang berakhir hari ini.

Operasi bermula semalam itu memeriksa 590 kenderaan di dua lokasi di Jeli dan Bukit Bunga, di sini dan membabitkan 29 pegawai serta anggota.

Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, antara kesalahan paling banyak dilakukan ialah membawa muatan berlebihan yang dibimbangi boleh mengakibatkan kenderaan hilang kawalan dan kecelakaan lain.

"Semua sama dan notis dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010," katanya yang ditemui media di Stesen Penguatkuasaan Bukit Bunga di sini, hari ini.

Hanif Yusabra berkata, selain mengurangkan kemalangan membabitkan kenderaan jenis itu, objektif operasi juga bagi memastikan pemandu mematuhi undang-undang ditetapkan.

Katanya, bagi kesalahan di bawah Seksyen 57 (1) APAD, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit bersalah.

"Sementara kesalahan di bawah Kaedah 89, Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Pembuatan dan Penggunaan) 1959 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan," katanya.

 Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf memeriksa kenderaan ketika operasi di hadapan Stesen Penguatkuasaan JPJ Bukit Bunga, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf memeriksa kenderaan ketika operasi di hadapan Stesen Penguatkuasaan JPJ Bukit Bunga, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 6:57 PM