(DARI kiri) Shanmugam, Mohd Amir dan Saminathan.
(DARI kiri) Shanmugam, Mohd Amir dan Saminathan.
Nazri Abu Bakar


Alor Gajah: Ideologi politik tiga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, di sini yang berbeza tidak menghalang mereka berkongsi menyantuni mangsa banjir di kawasan itu.

P Shanmugam yang mewakili Barisan Nasional (BN), Mohd Amir Fitri Muharam (Perikatan Nasional) dan penyandang kerusi, G Saminathan (Pakatan Harapan) masing-masing turun padang untuk meninjau keadaan penduduk di Kampung Gadek Dalam, di sini.

Difahamkan, semua mereka hadir secara berasingan kira-kira 10 pagi dan melakukan tinjauan bersama pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari Pejabat Daerah Pertahanan Awam Alor Gajah.

Dalam tinjauan itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Leftenan (PA) Mohd Ridhwan Latip turut memberikan penerangan berhubung situasi banjir kilat di kawasan itu.

Beliau berkata, setakat ini 10 rumah terjejas akibat banjir, namun belum ada mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Banjir kilat yang berlaku disebabkan hujan lebat di sekitar DUN Gadek dan Machap bermula jam 7 hingga lewat malam tadi

"Ia menyebabkan air sungai dan parit melimpah ke kawasan yang rendah," katanya sambil memaklumkan PPS belum dibuka setakat ini.

Katanya, keadaan cuaca setakat petang ini mendung dan pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung turut bersama melakukan pemantauan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 4:00 PM