ANGGOTA APM mengusung mangsa yang uzur untuk berpindah ke PPS di SK Titi Gajah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA APM mengusung mangsa yang uzur untuk berpindah ke PPS di SK Titi Gajah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini akibat limpahan Sungai Anak Bukit susulan hujan lebat hari ini.

Ini menjadikan jumlah PPS yang aktif di Kedah setakat ini adalah dua membabitkan daerah Kubang Pasu dan Kota Setar.

Hasil tinjauan di beberapa kawasan di daerah ini mendapati, banjir kilat turut melanda kawasan Jalan Sultanah menyebabkan jalan raya, kawasan sekolah serta stesen minyak dinaiki air, namun air surut tidak lama kemudian.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Abdul Haliq Rafiq Mokhtar berkata, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah di daerah ini dibuka 5.30 petang tadi namun jumlah mangsa yang ditempatkan di situ masih dalam proses pendaftaran.

"Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Alor Gunung, Pulau Kerengga, Seberang Chegar, Perang, Titi Gajah, Alor Senjaya dan Bohor," katanya ketika ditemui di lokasi banjir di Kampung Bohor, di sini hari ini.

Abdul Haliq berkata, setakat ini paras air menunjukkan peningkatan dan dijangkakan lebih banyak kawasan ditenggelami air akibat banjir kilat.

Sementara itu, penduduk Kampung Bohor, Satari Reso, 53, yang Baru menjalani pembedahan di kaki kiri bersyukur kerana diselamatkan APM selepas rumahnya dinaiki air sejak semalam.

Katanya, air masuk ke dalam rumah sangat cepat hari ini sehingga menyebabkan dia tiada pilihan kecuali berpindah ke PPS.

"Dalam rumah saya ada isteri, anak dan dua cucu dan saya bimbang air sungai akan terus melimpah dan paras air banjir semakin meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 9:10 PM