Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang Ahli Parlimen mencadangkan supaya ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berdepan masalah membayar kos rawatan kesihatan dibenar membuat pengeluaran daripada Akaun 1.

Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) berkata, langkah itu boleh dilaksana sekiranya simpanan ahli KWSP dalam Akaun 2 tidak mencukupi.

"Selain menampung keperluan harian, KWSP juga membenarkan ahli yang menghadapi masalah kesihatan untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 2 bagi membiayai kos perubatan penyakit.

"..tetapi selepas ketiga-tiga program (i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra) dilaksanakan, kebanyakan ahli KWSP terutama golongan B40 sudah tiada simpanan dalam Akaun 2," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sudah melaksanakan program i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra untuk memberi kemudahan kewangan tambahan kepada individu yang terkesan akibat Covid-19.

Lau juga berkata, kerajaan perlu menyegerakan keputusan untuk membenarkan pengeluaran i-CitraRM10,000 secara sekali beri kepada rakyat yang memerlukan kerana masih ramai berharap kerajaan menaikkan had pengeluaran KWSP menerusi program bantuan itu.

"Bagaimanapun, semua ini mengkompromikan simpanan persaraan khususnya bantuan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra masing-masing melibatkan pengeluaran duit simpanan akaun KWSP.

"Ini memang menjejaskan kehidupan mereka semasa hari tua, hari bila mereka sudah tak larat bekerja atau bersara," katanya yang turut meminta kerajaan menyatakan langkah jangka panjang bagi memulihkan simpanan persaraan KWSP.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 7:14 PM