Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

PELAKSANAAN inisiatif i-Citra adalah keputusan yang sukar kerana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diberi mandat untuk membantu ahli menguruskan wang persaraan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagaimanapun keputusan berkenaan perlu dibuat memandangkan negara sedang berdepan keadaan sukar akibat pandemik Covid-19.

"Kami faham yang pandemik Covid-19 mendatangkan dugaan luar biasa, dan kami cuba mencari jalan untuk memberi ruang buat ahli untuk mengakses dana simpanan mereka," katanya pada sesi perbincangan MIDF Conversations secara maya, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Mokhzani.

Menurutnya, walaupun dengan pelaksanaan inisiatif i-Lestari dan i-Sinar sebelum ini yang membabitkan pengeluaran sebanyak RM80 bilion, ia tidak menjejaskan kecairan KWSP.

"Kita boleh uruskan sekiranya ia mengikut apa yang dirancang dan kami boleh melihat portfolio. Kami juga boleh menyesuaikan diri mengikut keadaan.

"Yang paling utama adalah kami tidak kehilangan mandat kerana pada akhirnya kita perlu ingat bahawa kami perlu mengambil kira isu persaraan negara.

"Jika kita biarkan dana simpanan ahli digunakan sampai habis, maka akan menjadi masalah yang tidak boleh diuruskan," katanya.

Amir berkata, pihaknya berusaha mencari keseimbangan di antara membantu anggota dan pada masa sama memastikan mereka mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan.

"Kerana itu pengeluaran i-Citra akan menggunakan simpanan di dalam Akaun 2 terlebih dahulu sebelum beralih ke Akaun 1 jika tidak mencukupi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 7:10 AM