Pejabat KWSP Jalan Raja Laut.
Pejabat KWSP Jalan Raja Laut.
Mohd Zaky Zainuddin


Putrajaya: Penyaluran bantuan i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan membatalkan baki bayaran yang akan dibuat menerusi inisiatif i-Sinar, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau menjelaskan, baki bantuan i-Sinar akan diteruskan dikreditkan kepada pencarum yang diluluskan, selain kerajaan turut menawarkan satu lagi pilihan bantuan lain iaitu i-Citra untuk meringankan beban golongan rentan.

"i-Citra KWSP adalah satu lagi pilihan inisiatif untuk meringankan beban golongan terjejas," katanya pada sidang media maya mengenai Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan KWSP akan memperkenalkan kemudahan baharu dikenali sebagai i-Citra membabitkan pengeluaran sehingga RM5,000.

Permohonan i-Citra boleh dibuat mulai 15 Julai ini dengan pembayaran pertama akan dikreditkan dalam akaun ahli pada Ogos ini.

Secara keseluruhan pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, i-Citra diperkenalkan sebagai inisiatif bagi membantu ahli menghadapi cabaran dan diusahakan selepas ia dipertimbangkan dengan teliti.

Tengku Zafrul berkata, sejumlah 12.4 juta pencarum KWSP layak memohon inisiatif i-Citra dengan 8.7 juta daripada memiliki dana mencukupi melebihi RM5,000, manakala baki 3.7 juta pencarum lagi mempunyai dana kurang dari RM5,000.

"Bagi yang memiliki baki kurang RM5,000 mereka boleh membuat pengeluaran tertakluk kepada baki simpanan. Saya percaya inisiatif i-Citra ini sedikit sebanyak dapat membantu pencarum yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini," katanya.

Beliau menjelaskan, pengenalan inisiatif i-Citra bukan sesuatu keputusan yang mudah bagi KWSP dan kerajaan kerana ia membabitkan simpanan hari tua rakyat.

"Penyelesaian i-Citra mengambil jalan tengah antara keperluan mendesak akibat krisis dan pulangan yang wajar bagi pencarum yang tidak memerlukan pengeluaran.

"Ia satu pilihan kerana ada banyak lagi bantuan lain yang diumumkan dalam Pemulih terutama dalam membantu golongan rentan. Setiap inisiatif inisiatif perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan secara berasingan," katanya.

Menyentuh impak kepada pasaran modal, Tengku Zafrul berkata, berdasarkan pengalaman pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar, pelaksanaan program i-Citra dijangka tidak akan memberi kesan terhadap kecairan pasaran ekuiti atau bon

"Tambahan lagi kuantum pengeluaran i-Citra adalah RM30 bilion lebih kecil berbanding i-Sinar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 7:16 PM