KERAJAAN memperkenalkan tiga skim pengeluaran iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra bagi membantu golongan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19. FOTO Arkib NSTP
KERAJAAN memperkenalkan tiga skim pengeluaran iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra bagi membantu golongan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Sebanyak RM99.4 bilion caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjaya dikreditkan kepada pencarum melalui tiga skim pengeluaran yang diperkenalkan iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, di bawah pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), kerajaan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baru iaitu i-Citra yang membenarkan ahli KWSP untuk membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.

"Kemudahan ini dapat menyalurkan sebanyak RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian di mana pembayaran pertama dikreditkan dalam akaun pada Ogos lalu.

"Setakat 19 Ogos, pengeluaran kumulatif i-Citra yang diluluskan sebanyak RM20.2 bilion yang membabitkan 4.87 juta pemohon.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM4.6 bilion berjaya dikreditkan kepada ahli," katanya dalam pembentangan Laporan Laksana ke-66 yang disiarkan secara langsung di Facebooknya, semalam.

Menurutnya, selain i-Citra, KWSP turut memperkenalkan skim pengeluaran i-Sinar yang mula dikreditkan sejak Mac lalu.

"Beberapa penambahbaikan diperkenalkan dengan i-Sinar Tanpa Kriteria yang membenarkan semua ahli KWSP (termasuk pemastautin tetap dan bukan negara) yang berumur 55 tahun ke bawah dan mempunyai baki simpanan di dalam Akaun 1 sekurang-kurangnya RM150 turut dibenarkan membuat pengeluaran.

"Setakat 19 Ogos 2021, pengeluaran kumulatif i-Sinar yang berjaya dikreditkan sebanyak RM58.4 bilion yang membabitkan 6.57 juta pemohon," katanya.

Katanya, sebelum skim i-Sinar dan i-Citra diperkenalkan, KWSP terlebih dahulu menawarkan pengeluaran i-Lestari yang dilaksanakan tahun lalu.

"Inisiatif yang bermula April 2020 sehingga Mac 2021 ini memudahkan pengeluaran daripada Akaun 2 KWSP bagi membantu golongan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

"Pengeluaran maksimum RM500 sebulan dan bergantung kepada jumlah baki yang terdapat di dalam Akaun 2 KWSP.

"Pada akhir tempoh pengeluaran i-Lestari iaitu April 2021, jumlah pengeluaran kumulatif sebanyak RM20.8 bilion dan membabitkan 5.27 juta penerima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 9:10 AM