GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Tiada stok atau belum dihantar pembekal. Itu antara alasan diberi peniaga kedai runcit di sekitar Pulau Pinang kepada pembeli minyak masak paket.

Alasan berkenaan dikesan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerusi tinjauan mereka pada minggu lalu.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, tinjauan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan mengenai kekurangan minyak masak paket di sekitar negeri ini.

Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan sambutan Deepavali bakal menjelang tidak lama lagi dan bahan itu banyak digunakan sepanjang perayaan itu.

"CAP sudah melakukan tinjauan terhadap 12 kedai runcit di bahagian pulau dan mendapati tiada satu kedai pun mempunyai minyak masak paket.

"Tinjauan selama seminggu itu mendapati minyak masak paket amat sukar didapati dan saya sendiri dapat membeli hanya sepaket pada hari ini sejak mencuba seminggu lalu," katanya di sini, hari ini.

Subbarow berkata, penjual di kedai runcit mendakwa mereka hanya dibekalkan 30 paket minyak masak bagi sekali penghantaran dan mengehadkan pembelian sebanyak tiga paket seorang.

Katanya, berikutan ia dijual pada harga RM2.50 sepaket, penjual mendakwa mereka tidak dapat banyak keuntungan daripada jualan minyak masak paket.

"Susulan ketiadaan stok, orang ramai terpaksa membeli dan menggunakan minyak masak dalam botol yang dijual dengan harga lebih tinggi.

"Kerajaan mesti sedar dalam situasi Covid-19 pada masa ini, ramai orang tidak berkemampuan membeli minyak masak dengan harga tinggi.

"Sehubungan itu CAP menggesa supaya pembekalan minyak masak tidak hanya dihadkan kepada 30 paket bagi satu kedai dan memastikan ia sampai kepada pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 12:53 PM