TINJAUAN NSTP di sekitar Lembah Klang mendapati bekalan minyak masak peket ada dibekalkan.
TINJAUAN NSTP di sekitar Lembah Klang mendapati bekalan minyak masak peket ada dibekalkan.
Mohd Rizal Abdullah

Kuala Lumpur: Bekalan minyak masak paket bersubsidi masih mencukupi di kedai runcit dan pasar raya di sekitar Lembah Klang.

Hasil tinjauan Harian Metro mendapati kebanyakan kedai runcit dan pasar raya mempunyai bekalan minyak paket yang banyak dan isi rumah di kawasan ini tidak perlu berebut untuk mendapatkannya.

Tinjauan dijalankan susulan keadaan di bandar raya Miri, Sarawak di mana lebih 200,000 isi rumah di situ menghadapi masalah mendapatkan minyak masak paket bersubsidi berikutan kurangnya bekalan di kedai runcit mahupun pasar raya sejak kebelakangan ini.

Ia sekali gus menyebabkan minyak masak berkenaan menjadi ‘buruan’ berbanding minyak masak dalam botol yang sememangnya mudah diperoleh di kebanyakan premis perniagaan di bandar raya itu.

Seorang pemilik kedai runcit di Cheras, Chew Ah Keat, 60, berkata, bekalan minyak paket sentiasa ada di kedainya, malah ketika wartawan mengunjungi kedainya, terdapat lebih 10 kotak dua jenama minyak masak paket diletakkan di premisnya.

“Di sini kita tidak pernah mengalami kekurangan minyak masak paket. Malah ramai pelanggan saya yang membeli minyak masak paket berbanding dalam botol,” katanya ketika ditemui di kedainya, semalam.

Pekerja kedai rangkaian barang harian yang mahu dikenali sebagai Sofia, 28, berkata, bekalan minyak masak paket akan dihantar setiap minggu ke premis berkenaan dan ia sentiasa mencukupi mengikut permintaan pengguna.

“Namun kami perlu meletakkan papan tanda had lima paket kepada setiap pelanggan kerana di kawasan ini ada banyak restoran dan kedai makan.

“Pemilik kedai tidak mahu mereka memborong minyak masak paket hingga menjejaskan suri rumah atau pelanggan lain untuk mendapatkannya,” katanya.

Tinjauan Harian Metro juga mendapati harga minyak masak paket adalah tetap di setiap premis iaitu RM2.50 sepaket dan semua 15 premis dikunjungi wartawan mempunyai minyak masak paket yang banyak.

Metro Ahad semalam melaporkan isu kekurangan minyak masak paket di Miri berpunca daripada penyelewengan pihak tertentu yang dikesan menjualnya terus kepada pengusaha restoran, kedai makan, pengusaha kantin serta katering di bandar raya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 11:21 AM