Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Bekalan minyak masak botol lima kilogram (kg) masih banyak di pasaran bandar raya ini dan tidak mengalami gangguan seperti berlaku di kawasan lain.

Tinjauan di pasar raya, pasar mini dan kedai runcit di Johor Jaya dan Tampoi, dekat sini, mendapati minyak masak botol lima kg masih memenuhi rak-rak disediakan.

Bekalan minyak masak paket satu kg yang disubsidikan juga masih ada walaupun pembeliannya dihadkan kepada hanya dua dan tiga paket kepada seorang individu.

Pembantu pengurus cawangan sebuah pasar mini, Siti Norhanifah Abd Razak, 26, berkata, bekalan minyak masak botol lima kg di premis jagaannya tidak terjejas walaupun terdapat laporan beberapa kawasan di Lembah Klang mengalami kekurangan bekalan di sebalik kenaikan harga minyak botol.

"Setakat ini bekalan minyak masak botol lima kg di kawasan Johor Jaya termasuk premis jagaan saya masih tidak terjejas dan masih dihantar pembekal mengikut jadual.

"Minyak paket satu kg juga masih dihantar pembekal hampir setiap dua minggu sekali walaupun beberapa kawasan lain ada laporan ia mulai berkurangan.

"Kami juga masih menjual minyak botol lima kg pada harga RM28.50 berbanding premis lain yang sudah menjual melebihi harga RM32 sehingga RM34 manakala minyak paket di premis kami dihadkan kepada tiga unit setiap seorang," katanya ketika ditemui di pasar mini jagaannya, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan minyak masak paket bersubsidi yang dijual dengan harga RM2.50 menjadi rebutan, di sini, selepas harga minyak masak botol melonjak naik.

TINJAUAN minyak masak dalam botol lima kg
TINJAUAN minyak masak dalam botol lima kg

Tinjauan di Plentong dan Tampoi, di sini, mendapati beberapa kedai runcit turut kehabisan stok minyak masak paket berikutan bekalannya yang berkurangan.

Namun, beberapa kedai runcit yang lain pula didapati masih mempunyai bekalan minyak masak paket yang baru tiba.

Sementara itu, pekerja swasta, yang mahu dikenali sebagai Mazlina, 36, berharap kerajaan meletakkan harga siling sekali gus mengawal harga maksimum minyak masak botol lima kg.

Katanya, hanya segelintir pasar mini sahaja yang masih menjual minyak botol lima kg dengan harga RM28.50 namun kebanyakannya termasuk pasar besar terkenal sudah menaikkan harga keperluan berkenaan melebihi RM32.

"Menjadi tanda tanya mengapa rangkaian pasar mini terkenal ini satu-satunya tempat masih kekal menjual minyak botol lima kg dengan harga RM28.50 di kala semua tempat terutama pasar besar menaikkan harga sehingga melebihi RM32 hingga RM34 sebotol.

"Pengguna seperti saya dapar rasakan ia sekadar manipulasi harga yang menguntungkan penjual sahaja oleh itu saya harap kerajaan dapat adakan harga siling minyak masak botol lima kg supaya ia dijual tidak lebih RM30, jika tidak ada potensi ia akan naik harga sehingga lebih RM40 sebotol nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 6:46 PM