Omar Ahmad


Johor Bahru: Kenaikan harga minyak masak botol lima kilogram yang mencecah RM 27.90 membuat pengguna beralih kepada minyak masak paket satu kilogram, namun tinjauan mendapati ia mula kekurangan stok.

Tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit mendapati, minyak masak paket yang dijual RM2.50 sepaket mula dihadkan pembelian kepada hanya lima paket bagi setiap individu.

Malah terdapat pasar raya yang sudah kekurangan stok apabila rak yang menempatkan minyak masak paket itu dilihat kosong.

Peniaga nasi lemak, Azizah Jamil, 46 berkata dia terpaksa ke beberapa pasar raya bagi mencari dan membeli minyak masak paket.

Katanya, minyak masak paket menjadi pilihan bagi peniaga kecil sepertinya kerana harga lebih murah jika dibandingkan minyak masak botol yang tidak bersubsidi.

"Peniaga seperti saya memang guna minyak masak paket. Namun kebelakangan ini minyak masak paket agak kekurangan stok.

"Beberapa pasar raya yang saya pergi juga mendakwa mereka kehabisan stok malah rak juga sudah kosong," katanya ketika ditemui hari ini.

Bagi seorang lagi pengguna, Michelle Sullan, 19, minyak masak paket menjadi pilihannya kerana menjimatkan.

Katanya, dia tidak pernah membeli minyak masak botol kerana harga yang mahal selain penggunaannya yang tidak banyak.

"Bagi pengguna seperti saya yang tidak banyak menggunakan minyak masak mungkin tiada masalah, tetapi kekurangan stok boleh memberikan kesulitan kepada keluarga kurang berkemampuan dan juga peniaga kecil," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam berkata, permintaan minyak masak paket meningkat 40 peratus berbanding hujung tahun lalu.

Katanya, kerajaan diharapkan menambah pengeluaran minyak masak bersubsidi ini bagi mengurangkan beban pengguna.

MINYAK masak paket tiada dirak akibat kekurangan stok di beberapa pasaraya. FOTO Omar Ahmad
MINYAK masak paket tiada dirak akibat kekurangan stok di beberapa pasaraya. FOTO Omar Ahmad

"Memang buat masa sekarang ini permintaan minyak masak paket memang menggalakkan. Stok dalam lima tan jualan seminggu.

"Kami menerima 2.5 tan minyak masak paket pada 15 Januari lalu, dalam masa empat hari biasanya akan habis. Oleh itu kita terpaksa hadkan pembelian lima paket bagi setiap pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 2:37 PM