PESARA kerajaan, Zaharah Takiman, 75.
PESARA kerajaan, Zaharah Takiman, 75.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Kesukaran mencari bekalan minyak masak paket satu kilogram (kg) menyebabkan saya terpaksa membeli minyak masak botol," kata suri rumah, Azizah Harun, 38.

Katanya, masalah kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi itu mula dialaminya akhir bulan lalu apabila banyak premis didapati kehabisan bahan mentah berkenaan.

"Hujung bulan lalu, saya dapati susah mahu mencari minyak masak paket (1kg) di kedai kerana banyak sudah kehabisan stok. Ada kedai yang mempunyai stok, tapi mereka mengehadkan pembelian dengan setiap pelanggan hanya dibenarkan membeli tiga paket.

"Keadaan ini menyebabkan saya beralih membeli minyak masak botol," katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di Bangsar, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai bekalan telur, katanya, tiada masalah untuk mendapatkan bekalan bahan mentah berkenaan.

"Mungkin sebelum ini ada masalah untuk mendapatkan bekalan telur tapi sekarang senang sahaja kerana mana-mana premis ada jual (telur)," katanya.

Seorang lagi pengunjung di pasar raya berkenaan Zaharah Takiman, 75, berkata, bekalan minyak masak paket agak sukar ditemui kerana tidak semua premis ada menjualnya.

"Saya tidak pasti kenapa hanya sesetengah premis sahaja yang menjual minyak masak paket. Ia mungkin kerana mereka tidak ada bekalan mencukupi.

"Kebanyakan premis juga dilihat mengehadkan minyak masak paket kepada tiga paket kepada setiap pelanggan menyebabkan sukar untuk mendapatkan bekalan.

"Lain pula situasinya dengan telur kerana ia mudah didapati di mana-mana premis sekarang berbanding beberapa minggu lalu," katanya yang juga pesara kerajaan.

Tinjauan di sebuah pasar raya di Bangsar, di sini, mendapati premis berkenaan tidak menjual minyak masak bersubsidi dan hanya menjual minyak masak botol.

Bekalan telur di pasar raya berkenaan pula dilihat banyak diletakkan di rak-rak barangan yang dijual pada harga RM12.30 hingga RM14.99 mengikut gred bagi setiap dulang 30 telur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 4:41 PM