FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Bajet 2022 yang dibentangkan semalam ternyata menerima maklum balas positif daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Rata-rata rakyat melahirkan kesyukuran dengan penambahbaikan dan insentif diberikan kerajaan melalui pengumuman itu.

Bagi penjawat awam, Ravindran Sanmugam, 31, dia berterima kasih kepada kerajaan kerana terus prihatin dengan kakitangan awam.

"Bantuan Khas Kewangan kali ini adalah sebanyak RM700 berbanding RM500 sebelumnya dan sudah pasti pada waktu pandemik sebegini ia membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga.

"Selain itu, gantian cuti rehat (GCR) yang dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari juga begitu bermakna buat kami penjawat awam.

"Di samping itu, kerajaan akan melaksanakan kemudahan membenarkan penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari dan pendapat saya Bajet 2022 ini lebih menyeluruh kerana terdapat banyak penambahbaikan," katanya kepada Harian Metro.

Ravindran berkata, bantuan kepada bapa tunggal juga menyaksikan beberapa kelainan dalam Bajet 2022 berbanding sebelum ini hanya fokus kepada golongan wanita.

Berkongsi pendapat yang sama, Ahmad Shah, 35, berkata, sebagai peniaga dia juga tertunggu insentif yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2022.

Menurutnya, bantuan kepada peniaga juga terus diperkasa dan dia akan memohon insentif ditawarkan kerajaan bagi mengembangkan perniagaan makanannya.

"Selain bantuan pembiayaan, terdapat juga geran ditawarkan kepada usahawan dan paling penting permohonan untuk mendapatkan bantuan di bawah bajet ini perlu dipermudahkan agar lebih ramai pengusaha seperti kami dapat dibantu," katanya.

Sementara itu, pemandu teksi, Asari Ahmad, 69, berkata, bantuan bagi golongan sepertinya perlu diteruskan.

"Saya menerima bantuan untuk pemandu teksi sebelum ini yang berjumlah RM500 dan harapan saya serta pemandu teksi lain agar kerajaan teruskan bantuan sebab sekarang pendapatan kami masih belum stabil.

"Kadang-kadang pendapatan kami hanya lepas untuk duit makan dan minyak, usia pula sudah tua jadi hanya pekerjaan ini sahaja yang saya mampu buat dan teruskan," katanya berharap kerajaan dapat memperkenalkan insentif lain untuk pemandu teksi.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM332.1 bilion untuk Bajet 2022.

Peruntukan itu adalah tertinggi berbanding bajet sebelum ini dan secara keseluruhan, kerajaan menyediakan lebih RM31 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif.

Bajet 2022 juga meminimumkan kesan peningkatan kos sara hidup rakyat membabitkan kawalan harga barang dan perkhidmatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 6:55 PM