PERKESO komited merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjamin penyediaan 600,000 peluang pekerjaan pada 2022. FOTO Arkib NSTP
PERKESO komited merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjamin penyediaan 600,000 peluang pekerjaan pada 2022. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) komited merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjamin penyediaan 600,000 peluang pekerjaan pada 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya menerima sebanyak RM2 bilion peruntukkan untuk melaksanakan insentif penggajian JaminKerja (Jamin Kerja Keluarga Malaysia) di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Katanya, SIP adalah salah satu produk Perkeso yang membantu golongan pekerja kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan bantuan kewangan dan pekerjaan baharu.

"Sebagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM), Perkeso akan memberi sokongan penuh terhadap kerajaan dan komited melaksanakan kesemua inisiatif Bajet 2022 yang membabitkan agensi ini.

"Kami menyasarkan seramai 300,000 pencari kerja di seluruh negara bakal menerima manfaat bantuan pengambilan pekerja ini.

"Pelaksanaan insentif ini akan merangsang lebih banyak pewujudan pekerjaan oleh majikan, sekaligus menggalakkan penyertaan lebih ramai kumpulan tumpuan seperti orang kelainan upaya (OKU), banduan, bekas tentera dan Orang Asli serta golongan wanita untuk kembali bekerja.

"Insentif ini juga dijangka dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih mapan menerusi tempoh pemberian insentif yang dilanjutkan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, menerusi JaminKerja, majikan yang menggajikan individu yang tidak aktif bekerja bakal menerima insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.

Bagi golongan rentan pula, majikan layak menerima insentif sebanyak 30 peratus untuk 6 bulan pertama, sebelum dinaikkan kepada 40 peratus bagi 6 bulan berikutnya, tertakluk kepada pekerjaan bergaji antara 2 RM1,200 hingga RM10,000.

Kadar insentif yang sama turut akan dipanjangkan bagi pengambilan pekerja golongan wanita yang telah mengganggur melebihi tempoh setahun, ibu tunggal dan suri rumah.

Beliau berkata, sebagai kesinambungan kepada kejayaan program Perantisan sebelum ini, JaminKerja akan meneruskan pemberian insentif sebanyak RM900 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada majikan yang menggajikan golongan perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun.

Ini membabitkan kenaikan insentif sebanyak RM100 sebulan daripada RM800 sebelum ini dalam Belanjawan 2021.

Bermula 2022 juga, program ini akan dijenamakan semula sebagai SIP Perantisan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 1:56 PM