Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengadakan sidang media khas mengenai Pra-Bajet 2022 di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. FOTO AIZUDDIN SAAD
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengadakan sidang media khas mengenai Pra-Bajet 2022 di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. FOTO AIZUDDIN SAAD
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Sebagai salah satu usaha menambahbaik ketelusan dan keterangkuman dalam proses penyediaan bajet tahunan, Kementerian Kewangan (MoF) bersetuju menerbitkan Kertas Konsultasi Awam (KKA) dan mempelawa orang ramai untuk berkongsi idea bagi Bajet 2022.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, KKA akan menjadi pelengkap kepada Kenyataan Pra-Bajet 2022 yang diterbitkan, baru-baru ini.

Katanya, sebagai langkah permulaan, empat kertas konsultasi awam akan diterbitkan untuk mendapatkan input kepada Bajet 2022.

"Empat KKA itu ialah Penambahbaikan Dasar Perolehan Kerajaan berkaitan Barangan atau Perkhidmatan Tempatan dan Bumiputera, Penambahbaikan Program Bantuan Tunai, Kajian Insentif Cukai dan Penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA).

"Kertas pertama menggariskan cadangan penambahbaikan ke atas dasar penggunaan barangan/ perkhidmatan tempatan dan dasar keutamaan syarikat Bumiputera. Ini antara lainnya untuk melindungi dan membangunkan industri tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.

"Bagi penambahbaikan Program Bantuan Tunai pula bertujuan mengenal pasti masalah, keperluan dan kaedah berkesan dalam penyampaian bantuan kepada rakyat, terutamanya dalam situasi yang mencabar akibat penularan Covid-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, mengenai Kajian Insentif Cukai, ia merangkumi kajian semula rangka kerja insentif cukai pelaburan secara menyeluruh bagi memastikan insentif cukai kepada pelabur kekal relevan dengan landskap semasa perniagaan.

"Ia juga bertujuan meningkatkan daya saing negara dalam menarik pelaburan berkualiti, seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan penambahbaikan kedudukan fiskal negara," katanya.

Beliau berkata, Penggubalan FRA pula bertujuan untuk meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara, termasuk pengurusan hasil, perbelanjaan, hutang, risiko fiskal, serta pelaporan tertentu dalam bentuk pra-bajet dan pasca bajet, unjuran kedudukan ekonomi dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana.

"MoF yakin penerbitan KKA buat kali pertama ini akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing ke arah perangkaan bajet yang memenuhi keperluan rakyat serta selaras dengan dasar dan objektif negara," katanya.

Untuk soalan atau maklumat lanjut boleh dikemukakan kepada [email protected].

KKA boleh dimuat turun dan maklum balas boleh dikemukakan melalui laman web www.mof.gov.my. selewat-lewatnya pada 5 petang, 15 September 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 1:31 PM