ZAINAL Fikri Abd Kadir menyerahkan jala kepada peserta mengoca sebagai gimik perasmian program di Sungai Triang, Kampung Bemban, Jelebu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
ZAINAL Fikri Abd Kadir menyerahkan jala kepada peserta mengoca sebagai gimik perasmian program di Sungai Triang, Kampung Bemban, Jelebu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: "Saya tidak lepas peluang menyertai aktiviti mengoca ini. Rasa seronok dapat berendam di dalam sungai selepas sekian lama berkurung akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," ujar Mohd Asyraf Solehin, 35.

Dia antara 100 peserta yang menyertai aktiviti tradisi itu yang diadakan di Sungai Triang, Kampung Bemban, Simpang durian di sini, tadi.

Menurutnya, mengoca adalah aktiviti menangkap ikan beramai-ramai menggunakan tangan selain peralatan seperti jala, tangguk dan penapis plastik.

"Aktiviti seperti ini juga sudah lama dinanti-nantikan kerana mengoca lebih seronok dilakukan beramai-ramai berbanding jika dilakukan bersendirian.

"Saya sanggup pulang ke kampung kelmarin untuk menyertai acara ini selepas ia dikongsi melalui laman WhatsApp rakan-rakan," katanya.

Menurutnya, lokasi menjadi aktiviti mengoca itu adalah tempat dia 'berkubang' bersama-sama rakan ketika zaman kanak-kanak.

"Saya membawa dua anak untuk menyertai aktiviti ini. Paras air sungai tidak begitu dalam disebabkan musim panas ketika ini," katanya.

Sementara itu Jamaluddin Lias, 48, berkata, dia sanggup memandu dari Nilai selepas subuh untuk menyertai aktiviti mengoca berkenaan.

Pekerja swasta itu berkata dia menyertai aktiviti itu bersama tiga saudaranya.

"Aktiviti mengoca banyak meninggalkan kenangan dan nostalgia ketika saya masih kecil," katanya berasal dari Kampung Jerang.

Program mengoca itu dirasmikan Penyelaras Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Pertang, Zainal Fikri Abd Kadir selain turut dihadiri Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar

Sementara itu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung ( MPKK) Kampung Jerang, Shahruddin Dollah berkata program dianjurkan dirancang sejak seminggu lalu bersama Persatuan Belia Kampung Bemban.

Katanya hanya 50 peserta terawal sahaja dirancang untuk menyertai aktiviti berkenaan namun seramai 100 peserta menyertainya.

'Ini juga merupakan aktiviti pertama anjuran pihak MPKK Kampung Jerang sebaik negeri ini memasuki fasa ke-4 Pelan Pemulihan Negara ( PPN ) pada 24 September lalu.

Pengerusi Persatuan Belia Kampung Bemban, Zulkarnain Abd Rahim berkata aktiviti mengoca adalah aktiviti masa lapang kebanyakan penduduk kampung berikutan rumah berdekatan dengan sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 4:37 PM