AKTIVITI mengoca ikan yang disertai orang ramai. FOTO Abnor Hamizam
AKTIVITI mengoca ikan yang disertai orang ramai. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


AKTIVITI mengoca ikan di kawasan sawah padi memberi keseronokan bagi anak jati Kuala Lumpur yang pertama kali menyertainya di Kampung Sungai Buloh, Jelebu.

Ahmad Hairul Hamzah, 21 berkata, dia bercuti mengikut seorang kenalannya yang tinggal di Simpang Durian sebelum dimaklumkan mengenai aktiviti itu.

Katanya, ini adalah pengalaman pertamanya dapat berkubang dalam lumpur sawah bagi menangkap ikan.

“Pada awalnya takut juga masuk ke dalam petak sawah bermain lumpur sehingga mengotorkan pakaian, tetapi sebaik berebut mencari ikan situasi bertukar sebaliknya.

“Walaupun tidak berjaya mendapat ikan, pengalaman ini cukup menyeronokkan dan jika boleh saya mahu menyertainya lagi pada masa akan datang,” katanya.

Aktiviti mengoca ikan diadakan sempena Pesta Mengemping yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir.

Hadir sama Pengarah Perikanan negeri, Halimi Abu Hanip; Pemangku Yang Dipertua Majlis Daerah Jelebu (MDJ), Wan Mud Shardihan Wan Dahalan dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Buloh Mustakim Muhammad.

Ahmad Hairul berkata, percubaan kali pertama menangkap ikan menggunakan tangan agak sukar kerana ikan itu licin dan sukar untuk dipegang.

Sementara itu Halimi berkata, pihaknya melepaskan sebanyak 250 ekor ikan termasuk lampam, keli, jelawat dan talapia bagi aktiviti mengoca itu.

Katanya, seramai 250 peserta tidak melepaskan peluang menunjukkan kemahiran menangkap ikan menggunakan tangan selain memberi peluang kepada mereka yang pertama kali menyertainya.

Mustakim berkata, aktiviti mengoca ikan di petak sawah juga adalah aktiviti selepas musim menuai padi bagi penduduk mencari ikan darat sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual.

“Aktiviti seperti ini akan memberi peluang kepada generasi baharu merasai pengalaman yang pernah dilalui oleh ibu bapa atau datuk dan nenek mereka satu masa dahulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 7:08 PM