PESERTA Majlis Sambutan Hari Raya Kuala Sungga @ Jom Mengoca sedang melakukan aktiviti mengoca ikan. FOTO Nuraliawati Sabri
PESERTA Majlis Sambutan Hari Raya Kuala Sungga @ Jom Mengoca sedang melakukan aktiviti mengoca ikan. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Alor Gajah: "Bukan kerana mahukan hadiah sebaliknya ingin merasai keseronokan `pesta' mandi lumpur yang semakin dilupai," ujar peserta 'mengoca' ikan yang juga pemenang ketiga pertandingan menangkap ikan menggunakan tangan, Shameer Anuar Redzuan, 38.

Shameer adalah antara lebih 100 peserta yang menyertai acara menangkap ikan atau secara tradisi dipanggil 'mengoca' ikan di Lubok Tok Salim, Kuala Sungga di sini, tadi.

Menurutnya, meskipun perlu bergegas dari ibu kota untuk pulang ke kampung halaman di Tebong di sini, bagi mengikuti acara tradisi itu namun ia sesuatu sukar dilepaskan.

"Aktiviti ini bukan sahaja dapat meneruskan tradisi silam tetapi mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat," katanya yang ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Kuala Sungga @ Jom Mengoca disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya Ngwe Hee Sem, Lubok Tok Salim, Kuala Sungga, di sini.

Menurutnya, selain berjaya menangkap ikan keli seberat lebih dua kilogram, dia turut berjaya menangkap beberapa ekor ikan lain antaranya sepat, haruan dan juga belut.

"Tidak sangka ikan keli yang berjaya ditangkap tidak sampai 10 minit selepas acara bermula membolehkan saya dipilih sebagai pemenang ketiga," katanya.

Sementara itu, Nur Kholiq Ahmad Tohir, 31, berjaya menduduki tempat kedua selepas berjaya menangkap ikan haruan seberat lebih empat kilogram.

"Saya bekerja ladang ini. Jadi saya sudah biasa terdedah dan menangkap ikan di parit dan tali air.

"Namun suasana hari ini (semalam) lebih meriah dan seronok apabila melakukannya beramai-ramai," katanya.

Terdahulu, Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia Dan Perpaduan Melaka bukan sahaja hadir merasmikan majlis tetapi turut serta bersama peserta 'mengoca' ikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 3:25 PM