Aizat Sharif


Kangar: Terdapat peningkatan kesalahan pengguna jalan raya yang tidak mematuhi isyarat merah pada lampu isyarat terutama selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan oleh kerajaan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, menerusi Ops Merah yang dilaksanakan bermula pada 28 September lalu sebanyak 33 kes direkodkan di Perlis.

"Kita lihat pada waktu ini juga terdapat pertambahan kenderaan dari luar yang berpusu-pusu masuk ke Perlis selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan oleh kerajaan.

"Keadaan yang berlaku menyebabkan jalan raya menjadi sibuk dan ada pengguna jalan raya mengambil kesempatan untuk tidak mematuhi isyarat merah pada lampu isyarat yang terdapat di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan dan pemeriksaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan terhadap pemandu dan penumpang bas ekspres di Terminal Bas Bukit Lagi, di sini semalam.

Katanya, berdasarkan jumlah kesalahan berkenaan, lima jalan raya dikenal pasti sebagai laluan yang sering dijadikan pengguna jalan raya untuk tidak mematuhi lampu isyarat yang terdapat di kawasan berkenaan.

"Lima jalan raya di Kangar ini adalah Jalan Kangar-Arau (Jalan Tuanku Syed Sirajuddin), Jalan Kuala Perlis-Changlun, Jalan Raja Syed Alwi, Jalan Kangar-Alor Setar ( Jalan Tuanku Syed Putra) dan Jalan Behor Pulai.

"Jalan ini adalah jalan yang mempunyai lampu isyarat yang banyak dan disebabkan itu juga kita dapati pengguna jalan raya mengambil sikap tidak bertanggungjawab dengan terang-terangan tidak memberhentikan kenderaan mereka tatkala lampu isyarat bertukar kepada merah sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan akan berlaku pertambahan kenderaan pada hujung minggu ini terutama kepada mereka yang ingin bercuti ke Langkawi menggunakan feri di Terminal Feri Kuala Perlis selain cuti sambutan Maulidur Rasul pada Selasa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 8:53 AM