GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Penguatkuasaan dan pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa diyakini mampu menangani kejadian kemalangan di persimpangan lampu isyarat.

Pandangan itu disuarakan pemangku Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) Fahami Ashrof Badaruddin yang berkata, kes kemalangan di persimpangan lampu isyarat semakin membimbangkan kebelakangan ini.

Menurutnya, keberadaan anggota berkuasa dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat mendidik pengguna jalan raya mengenai pematuhan kepada lampu isyarat.

"Sekarang ini situasi langgar lampu merah boleh dikatakan semakin parah. Saya terkilan dengan sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi lampu isyarat seolah-olah nyawa mereka tiada nilai.

"Jika dilihat kebelakangan ini lampu isyarat hanya sekadar hiasan oleh segelintir pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal yang tidak berhenti pada isyarat merah.

"Tindakan itu bukan saja membahayakan keselamatan penunggang terbabit, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain," katanya kepada Harian Metro.

Fahami berkata, ketidakpatuhan itu mungkin disebabkan tiada penguatkuasaan secara berterusan.

Justeru, beliau berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap pengguna jalan raya yang bersikap mementingkan diri sendiri

Selain penguatkuasaan berterusan, katanya, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap lampu isyarat terutama di kawasan 'panas' di seluruh negara akan membantu mengurangkan kadar kemalangan.

Tambahnya, ia sebahagian langkah untuk mengambil tindakan terhadap pengguna yang tidak mematuhi lampu isyarat.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan memperhebatkan semula kempen peraturan jalan raya untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 3:11 PM