Tertuduh diiringi anggota polis keluar dari mahkamah. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Tertuduh diiringi anggota polis keluar dari mahkamah. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Mohd Hilmie Hussin


BAPA mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka hari ini atas tuduhan mengabai dan mencederakan anak perempuan tiri di bawah jagaannya, dua tahun lalu.

Tertuduh berusia 36 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai penjaga kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, mengabai dan mendedahkan kanak-kanak terbabit kepada kecederaan fizikal jam 8.30 pagi, pada Januari 2018 hingga 15 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam mencadangkan kepada mahkamah untuk tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh atas faktor keselamatan mangsa yang mempunyai pertalian hubungan.

Difahamkan tertuduh mencucuh rokok ke badan anak tirinya itu namun mendakwa luka terbabit hanya kesan kudis. Namun pemeriksaan doktor mendapati luka terbabit bukan kudis dan dipercayai ada kaitan dengan penderaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, tidak membuat rayuan terhadap mitigasi yang dikatakan Timbalan Pendakwa Raya itu.

Ahmad Sazali kemudian memerintahkan 25 Februari ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh tidak ditawar jamin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 5:45 PM