Shahran (kiri) dan Mohd Nadzri (kanan) ketika ditemui di pasar basah Larkin, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Shahran (kiri) dan Mohd Nadzri (kanan) ketika ditemui di pasar basah Larkin, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Kenaikan harga daging dan ayam di pasaran dipercayai dimonopoli pembekal yang menyimpan stok barangan basah itu sehingga membebankan khususnya peniaga.

Peniaga daging, Mohd Nadzri Ahmad, 41, mendakwa sejak awal tahun hingga kini, harga daging akan meningkat pada setiap minggu antara 80 sen hingga RM2.

"Sejak isu kartel daging itu, harga yang ditetapkan pembekal naik sehingga 30 peratus. Kadang dalam masa seminggu sahaja ia naik tiga hingga empat kali.

"Saya sudah meniaga lebih enam tahun, setiap tahun harga akan naik, pembekal menyimpan stok kemudiannya bila mahu tiba raya, baru akan mengagihkan sikit-sikit kepada peniaga.

"Setiap bahagian daging dijual pada harga berbeza. Contoh, untuk kategori daging sejuk beku bagi bahagian tulang selalunya dijual pada harga RM16 sekilogram (kg) berbanding kini RM20. Paru dulu RM14 kini RM18," katanya ketika ditemui di pasar basah Larkin di sini, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, bagi bahagian daging sejuk beku dahulunya dijual pada RM20 dan kini RM24 manakala daging segar dahulu antara RM36 hingga RM37 dan kini dijual pada harga RM40 setiap kg.

"Bahagian ekor pula dijual pada harga RM26, kini antara RM34 hingga RM35. Permintaan terhadap barangan basah sama ada ayam mahupun daging tetap ada, namun pada masa sama pelanggan tetap ragu mengenai status halal," katanya.

Bagi peniaga ayam, Shahran Osman, 54, harga ayam standard kini dijual RM9.60 setiap kg berbanding RM9.20 pada Sabtu lalu.

Katanya, harga yang ditetapkan dari penternak atau pembekal tidak menentu, namun ia tidak akan menaik secara mendadak sebaliknya ia antara 20 sen hingga 40 sen.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, sehingga kini, tindakan susulan terhadap 26 notis yang dikeluarkan pihaknya pada Sabtu lalu (17 April), masih dalam siasatan.

"KPDNHEP akan bagi tempoh kepada peniaga untuk mengemukakan dokumen supaya siasatan dapat dijalankan termasuk hingga di peringkat pembekalan yang secara tidak langsung meliputi rantaian pengedaran.

"Bagaimanapun, sehingga kini, bekalan barangan basah seperti ayam dan daging adalah mencukupi bagi keperluan masyarakat," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 12:24 PM