KETUA Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Pilah, Ahmad Khuzairi (tengah) ketika melakukan pemeriksaan daging sejuk beku di sebuah pasar raya Kuala Pilah. FOTO Ihsan KPDNHEP
KETUA Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Pilah, Ahmad Khuzairi (tengah) ketika melakukan pemeriksaan daging sejuk beku di sebuah pasar raya Kuala Pilah. FOTO Ihsan KPDNHEP
Mohd Amin Jalil

Seremban: Tiada kes atau aduan berhubung isu daging sejuk beku diseludup dari luar negara dan menyalahgunakan sijil atau logo halal dikesan berlaku di Negeri Sembilan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, sehingga kini pihaknya membuat 7,622 pemeriksaan ke atas premis dan pasar awam di seluruh negeri.

"Setakat ini, kami tidak menerima sebarang aduan berkaitan kegiatan penyeludupan daging sejuk beku dari luar negara yang menyalahgunakan logo halal atau sebarang aktiviti mencurigakan.

"Malah, hasil pemeriksaan di pasar awam di seluruh negeri ini didapati peniaga mematuhi peraturan.

"Bagaimanapun, jabatan akan terus melakukan pemantauan dan penguatkuasaan halal bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dari masa ke semasa," katanya, di sini, hari ini.

Rabu lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengetuai serbuan bersama agensi penguat kuasa lain ke sebuah gudang menyimpan daging sejuk beku di Senai, Johor, sebelum ia dibungkus semula dengan logo halal palsu.

Berdasarkan siasatan awal, daging sejuk beku itu diseludup dari Brazil, China, Ukraine dan Argentina sebelum dipasarkan ke seluruh Malaysia.

Ain Arjuna berkata, pihaknya sudah mengingatkan peniaga supaya tidak cuba melanggar undang-undang berkaitan penggunaan logo dan sijil halal atau mempamerkan apa-apa perakuan tanpa kebenaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurutnya, penggunaan sijil atau logo halal untuk pemegang sijil halal sahaja.

"Pengguna boleh membuat semakan status logo halal yang diiktiraf Jakim melalui laman web www.halal.gov.my.

"Orang ramai tidak perlu bimbang, namun jika terdapat aspek yang meragukan mereka boleh membuat aduan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 3:45 PM