ANGGOTA kastam melakukan pemeriksaan terhadap daging yang terdapat di gudang pembekal makanan sejuk beku yang diserbu pihak berkuasa pada 2 Disember lalu kerana dipercayai membungkus semula daging dengan logo halal palsu dan pemalsuan dokumen, di Taman Perindustrian Senai. FOTO Bernama
ANGGOTA kastam melakukan pemeriksaan terhadap daging yang terdapat di gudang pembekal makanan sejuk beku yang diserbu pihak berkuasa pada 2 Disember lalu kerana dipercayai membungkus semula daging dengan logo halal palsu dan pemalsuan dokumen, di Taman Perindustrian Senai. FOTO Bernama
Omar Ahmad


Johor Bahru: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor (DPMMNJ) mendesak kerajaan mendedahkan semua jenama yang terbabit dengan kartel penipuan label halal, pemalsuan cap serta pembungkusan semula daging sejuk beku import yang dijual secara terbuka sejak puluhan tahun lalu.

Pemangku Yang Dipertua DPMMNJ, Muhammed Farhan Basheer berkata, pendedahan itu bagi membolehkan pengguna khususnya umat Islam menghentikan pembelian daging jenama terbabit dengan serta-merta.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan persatuan pengguna selama ini kerap mendedahkan pelbagai jenama makanan atau produk yang memalsukan tanda halal, mengandungi lemak khinzir atau mengelirukan pengguna Islam dengan jenama yang Islamik.

"Kami juga mendesak kerajaan khususnya KPDNHEP mendedahkan jenama daging sejuk beku itu seperti mana mereka lakukan untuk pelbagai produk lain sebelum ini.

"Pihak kami ada senarai sekurang-kurangnya enam jenama daging terbabit tetapi kerajaan yang sewajarnya mendedahkan perkara berkenaan.

"Kerajaan juga perlu mengheret pihak yang terbabit dengan kartel ini ke mahkamah. Penguatkuasaan mesti dipertingkatkan bagi memastikan kegiatan seperti ini dibanteras," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammed Farhan berkata, pihaknya turut menyarankan kerajaan memperhalusi cadangan supaya hanya membenarkan import ternakan hidup bagi menamatkan kegiatan kartel serta jaminan bekalan daging halal yang berkualiti.

Katanya, lembu, kambing atau kerbau import akan disembelih di rumah sembelihan milik agensi atau pihak persendirian yang mempunyai persijilan halal.

"Ia kemudian diproses, disejukbeku dan disimpan sebelum diedarkan ke pasaran domestik saja. Dengan ini, kita akan mendapat jaminan bekalan daging halal serta berkualiti.

"Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan ekosistem bagi rantaian bekalan daging halal bersepadu serta penggunaan logo dan jenama khas untuk produk daging halal di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 12:54 PM