Bungkusan daging rusa palsu yang di jual. FOTO  Roselan Ab Malek
Bungkusan daging rusa palsu yang di jual. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


PERMINTAAN tinggi terhadap daging rusa menjelang Aidilfitri menyebabkan wujudnya segelintir pihak bertindak menjual daging rusa palsu dan memperdayakan orang ramai di daerah ini.

Perkara itu didedahkan wakil penternak rusa daerah Jerantut, Shamsul Mohd Ali Hanapiah @ Hamid, 42, selepas mendapati banyak iklan yang menawarkan daging haiwan itu tular di laman Facebook (FB).

Dakwanya, harga yang ditawarkan iaitu sekitar RM30 hingga RM35 adalah sangat tidak munasabah kerana harganya sama seperti daging lembu dan kerbau.

Menurutnya, kebanyakan daging rusa palsu itu dijual secara mampat tanpa tulang dan diedarkan pihak tertentu melalui FB, malah ada yang dijual di kedai tertentu.

“Adalah mustahil daging rusa tempatan atau import boleh dijual pada murah antara RM 30 hingga RM 35 sekilogram, malah ada yang jual lebih murah dari daging lembu dan kerbau di pasaran.

“Seekor rusa yang diternak bernilai lebih RM3,500 dan berat daging serta tulang yang boleh dijual adalah sekitar 30 kilogram sahaja,” katanya yang yang mempunyai ladang rusa, Aisyadeerfarm di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut.

Katanya, harga daging rusa di pasaran ketika ini adalah sekitar RM75 hingga RM95 sekilogram mengikut bahagian tertentu.

“Jika bahagian batang pinang harganya adalah RM160 sekilogram manakala bahagian torpedo atau alat kelamin, ia mampu mencecah RM200 sekilogram.

“Jika pihak terbabit menjual daging rusa ini pada harga RM35 sekilogram dan didarab dengan 30 kilogram nilai seekor rusa berkenaan hanyalah RM1,050.. bagaimana penternak boleh mendapat keuntungan pada harga begitu,” katanya.

Katanya, pihak terbabit mendakwa mereka mendapat bekalan dari sebuah ladang di daerah ini, namun semua sedia maklum belum ada penternak yang menternak haiwan itu dengan skala besar di negara ini.

“Kita percaya ia adalah daging lembu atau kerbau, justeru orang ramai diminta berhati-hati sekiranya ada individu yang menawarkan daging rusa dengan harga murah bagi mengelak mereka ditipu.

“Biasanya penternak rusa akan menjual daging rusa di ladang masing-masing yang dijual berserta tulang, manakala harganya pula tidak serendah daging lembu mahupun kerbau,” katanya.

Katanya, penjualan daging rusa palsu itu mula dikesan sejak beberapa tahun lalu dan ia sedikit sebanyak menjejaskan industri ternakan rusa di negara ini jika langkah sewajarnya tidak diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 1:13 PM