FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hamzah Osman


Langkawi: Penduduk menetap di sempadan Kedah-Perlis dinasihati supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak melakukan aktiviti rentas negeri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pematuhan SOP dapat membantu usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 membabitkan penduduk di sempadan dua negeri berkenaan.

"Saya harap orang Kedah (di kawasan sempadan Perlis) jangan lakukan aktiviti merentas negeri sehingga ia dibenarkan kembali kerajaan.

"Kalau benar orang Kedah yang merentas negeri ke Perlis (menyebabkan jangkitan Covid-19) harap jangan lakukan lagi (perkara itu)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 Peringkat Kedah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai kes jangkitan harian Covid-19 di Perlis melonjak ke paras tertinggi akibat aktiviti rentas negeri secara haram.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, pihaknya bagaimanapun belum menerima laporan rasmi dari pihak berkuasa mengenai perkara itu dan hanya mengetahuinya melalui laporan media.

"Isu ini membabitkan dua hala, ada juga kemungkinan orang Perlis datang ke Kedah dan bawa balik (Covid-19) ke Perlis juga.

"Penduduk yang tinggal di Sanglang misalnya, dapur di Perlis, ruang tamu di Kedah. Perkara ini berlaku sebab mereka menetap di sempadan kedua negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 3:18 PM