Anggota polis dan petugas barisan hadapan ketika melakukan pemeriksaan. FOTO AIZAT SHARIF
Anggota polis dan petugas barisan hadapan ketika melakukan pemeriksaan. FOTO AIZAT SHARIF
Oleh Aizat Sharif

Kangar: Polis mengekalkan tiga sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini walaupun larangan rentas negeri berakhir tengah malam tadi.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, SJR menerusi Op Benteng terus kekal di Chuping, Padang Besar dan Wang Kelian bagi memastikan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dapat dipantau dan dibanteras.

Katanya, dalam pada itu anggota yang sebelum ini ditugaskan di SJR di sempadan negeri kini diteruskan kepada sektor lain terutamanya melakukan 'snap check' secara berkala bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terus dipatuhi meskipun kebenaran rentas negeri dibenarkan.

"Walaupun sudah dibenarkan merentas negeri, pematuhan SOP tetap sama dan kita akan terus melakukan snap check kepada orang awam atau di premis makanan bagi memastikan pematuhan SOP serta sijil vaksinasi lengkap," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, dari Januari hingga 7 Oktober lalu sebanyak 1,860 kompaun dikeluarkan kepada orang ramai di Perlis berikutan kegagalan mematuhi SOP yang sudah ditetapkan kerajaan.

"Bagi Fasa Ketiga di Perlis yang bermula pada Ogos lalu, sebanyak 480 kompaun dikeluarkan dan 168 daripadanya atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran," katanya.

Sementara itu, tinjauan di SJR sempadan Perlis-Kedah di Jelempok, Guar Sanji di Arau mendapati anggota polis, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengakhiri tugasan mereka tepat jam 12 tengah malam tadi.

Seorang petugas, Inspektor Nusi Che Mokhtar, 33, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau berkata, dia berharap orang ramai terus mematuhi SOP yang sudah ditetapkan meskipun rentas negeri kini sudah mulai dibenarkan.

"Sepanjang menjaga SJR di sini pelbagai karenah pemandu kami tangani termasuk individu yang mencuba untuk memasuki Perlis walaupun tanpa tujuan dan kebenaran yang sah daripada polis.

"Meskipun SJR di kawasan sempadan Perlis-Kedah ini sudah tiada, saya berharap masyarakat mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan supaya penularan Covid-19 ini dapat dikawal," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 3:05 PM