Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO BERNAMA
Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO BERNAMA
Noor Hidayah Tanzizi


Bagan Datuk: "Bagi kami dalam pimpinan Umno, tidak ada Umno lama dan tidak ada Umno baharu... yang penting Umno itu satu saja dan kita mengambil perkiraan semua peringkat umur termasuk veteran," kata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, tiada keperluan menghidupkan semula 'Umno lama' sebaliknya hanya semangat perjuangannya saja perlu disuntik dalam parti itu ketika ini.

"Jika ada perbezaan pendapat ia sering diraikan oleh kepimpinan. Saya tidak fikir perlunya semangat untuk menghidupkan parti yang sudah diharamkan dari segi perundangan pada 1988 (merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengharamkan Umno)

"Semangat (perjuangan yang ada dalam Umno lama) itu harus disuntik dalam Umno yang ada sekarang ini. Mari kita berpadu supaya dapat bergerak dalam satu landasan sama," katanya pada sidang media program Outreach Vaksinasi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Ahmad Zahid memberi reaksi itu sebagai maklum balas terhadap kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mengenai usaha mewujudkan semula 'Umno lama'.

Beliau berkata, perbezaan ideologi dan pegangan politik perlu diketepikan bagi mengelakkan landskap politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu berulang kembali.

Katanya, ia sekali gus dapat mewujudkan kestabilan politik bagi memperkukuhkan ekonomi kerana rakyat sudah muak dengan perbezaan dalam kalangan tokoh politik.

Semalam media melaporkan, Tengku Razaleigh mengetuai mesyuarat dengan sekumpulan veteran Umno bagi membincangkan usaha mewujudkan semula 'Umno lama'.

Bekas Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu dilaporkan berkata, pertemuan berkenaan susulan kebimbangan dalam kalangan veteran parti itu terhadap situasi semasa politik negara ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 1:14 PM