Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Dua mangsa ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah Perodua Myvi berhampiran lampu isyarat Tesco Mergong di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 3.11 pagi.

Katanya, susulan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Ahmad Nozlan Zakaria dikejarkan ke lokasi.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, penumpang kereta adalah wanita dikenali sebagai Tan Sun Wen, 19, manakala pemandunya dipercayai lelaki, namun belum dikenal pasti identitinya setakat ini.

"Siasatan awal mendapati, kebakaran dipercayai berpunca akibat kemalangan jalan raya yang berlaku selepas kenderaan itu terbabas dan peratusan kebakaran dianggarkan 80 peratus dengan hampir keseluruhan bahagian dalam kereta terbabit terbakar," katanya.

Sayani berkata, anggota BBP Alor Setar dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Seberang Nyonya dan polis.

Beliau berkata, api berjaya dipadamkan pada jam 3.25 pagi.

"Komander operasi melaporkan terdapat dua mangsa dalam kereta terbabit dan mangsa yang berada di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan pada 4.59 pagi.

"Seorang lagi mangsa yang berada di tempat duduk penumpang berjaya dikeluarkan pada 4.55 pagi dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia selepas oleh pasukan perubatan," katanya.

Sayani berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya .

"Operasi tamat sepenuhnya pada 5.22 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 7:58 AM