KERETA dinaiki anggota bomba selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan Bomba
KERETA dinaiki anggota bomba selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi maut dalam kemalangan di Jalan Ulu Melaka, Ayer Hangat, Langkawi, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, kemalangan membabitkan Perodua Bezza yang terbabas melanggar tiang elektrik.

Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 10.09 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra dan Langkawi tiba di lokasi pada 10.24 pagi.

Sayani berkata, pemeriksaan mendapati mangsa, Pegawai Bomba Ramizee Ramli, 34, adalah anggota bomba yang bertugas di BBP Langkawi.

“BBP Persiaran Putra mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas,” katanya.

Mangsa kemudiannya diserah kepada polis dan jenazahnya dibawa ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat.

“Operasi disertai lapan anggota dan dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 1:21 PM