BERNAMA

Kuala Lumpur: Pusat internet kerajaan di kawasan bandar dan perkampungan yang dikendalikan oleh kementerian berbeza kini akan diselaras di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan dilancarkan sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pusat digital itu antara lainnya akan menumpukan aspek melatih masyarakat luar bandar, termasuk golongan B40 untuk terbabit dalam perniagaan secara dalam talian atau e-dagang yang kini menjadi budaya bagi rakyat negara ini.

Beliau berkata, ini berikutan pusat internet desa di bawah Kementerian Penerangan terdahulu, dilihat tidak menampakkan kejayaan berikutan fokusnya yang mungkin lebih menjurus kepada aspek latihan dan penggunaan komputer.

"Apabila pandemik Covid-19 melanda dan tidak membolehkan perniagaan secara bersemuka, maka ramai rakyat kita yang perlu terlibat dengan perniagaan secara dalam talian.

"Oleh itu, kita mahu menumpukan usaha melatih masyarakat luar bandar yang turut menggunakan pusat internet di kampung masing-masing untuk terlibat dalam perniagaan secara dalam talian ini," katanya dalam program wawancara Eksklusif Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan, malam ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Pada Isnin lalu ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12, perdana menteri berkata Pusat Internet, Pusat Internet Desa dan Pusat Komuniti Desa akan ditransformasi sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia bagi memberi perkhidmatan lebih baik dan bersepadu.

Mengulas selanjutnya, Ismail Sabri juga menegaskan dari segi jurang digital, aspek infrastruktur perlu disediakan untuk memastikan penembusan internet dapat meliputi 100 peratus kawasan terbabit, terutama di luar bandar.

"Jurang digital ini agak lebar terutama di luar bandar. Malah di bandar seperti kawasan Projek Perumahan Rakyat misalnya, penembusan internet itu mungkin ada tetapi mereka tidak menggunakan internet kerana faktor kemampuan dan sebagainya," katanya.

Malah, perdana menteri berkata, kerajaan membelanjakan sejumlah RM7.7 bilion di bawah program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan sejumlah RM3.61 bilion disalurkan kepada Sabah manakala RM4.09 bilion untuk Sarawak bagi memastikan 100 peratus liputan dalam masa dua tahun.

"Kalau dari segi infrastrukturnya sudah ada internet, maka saya percaya ramai masyarakat luar bandar dan bandar di bawah B40 boleh terlibat dengan teknologi digital ini," kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 10:26 PM