DATUK Yakub Khan. FOTO arkib NSTP
DATUK Yakub Khan. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengambil tindakan proaktif untuk mengatasi masalah liputan Internet terutama di kawasan luar bandar menerusi perbincangan dengan syarikat telekomunikasi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Yakub Khan berkata, langkah itu antara usaha mempercepat penyediaan liputan sebelum diperkukuhkan menerusi pembinaan infrastruktur lebih baik dalam pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang bermula tahun depan.

"Kita sedia maklum dengan masalah liputan Internet yang dialami rakyat di Sabah khususnya di kawasan pedalaman.

"Selain usaha diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kita juga berbincang dengan syarikat penyedia liputan untuk membantu menyelesaikan masalah ini," katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) mengenai usaha jangka pendek kerajaan untuk mengatasi kekangan liputan Internet di luar bandar.

Ewon berkata, walaupun ada langkah jangka panjang menerusi pelan JENDELA namun ia mengambil masa untuk disiapkan sedangkan keperluannya semakin mendesak terutama untuk proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19.

Yakub turut bersetuju dengan cadangan Ewon mengenai perlunya golongan pelajar diberi bantuan untuk mengakses Internet seperti dalam bentuk kad prabayar.

Menjawab soalan asal Datuk Mohamadin Ketapi (Warisan-Segama) mengenai status kerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi mengatasi masalah Internet, Yakub berkata, usaha sedang dilaksanakan menerusi SKMM.

"SKMM sentiasa menumpukan penambahbaikan infrastruktur komunikasi melalui penyediaan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi menggunakan pelbagai teknologi terutama di kawasan luar bandar termasuk di Sabah.

"Di bawah pelan JENDELA, penambahbaikan infrastruktur digital secara berfasa akan memberikan kualiti yang sama rata di antara kawasan bandar dan luar bandar. Ini selaras dengan perancangan kementerian menjadikan telekomunikasi sebagai utiliti awam selepas air dan elektrik," katanya.

Beliau berkata, Sabah adalah penerima terbesar inisiatif JENDELA seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dengan 190,115 premis akan disediakan akses perkhidmatan jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.

"Untuk perkhidmatan jalur lebar mudah alih pula, 423 menara baharu akan dibina, manakala 2,221 alat pemancar komunikasi sedia ada dinaik taraf kepada teknologi 4G. Semua inisiatif ini dibuat berperingkat bermula tahun ini sehingga 2022.

"Kerajaan negeri akan sentiasa memberikan kerjasama dan bertindak sebagai pemudahcara dalam proses kelulusan tapak dan proses perolehan yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 2:39 PM