HAMPIR semua maklumat sudah berada di internet dan bole diakses pada bila-bila masa.
HAMPIR semua maklumat sudah berada di internet dan bole diakses pada bila-bila masa.
Muhammad Saufi Hassan


JURANG digital antara desa dan bandar perlu dikecilkan, malah tidak mustahil suatu hari nanti tiada jurang yang memisahkan antara bandar serta luar bandar jika menyentuh soal digitalisasi.

Generasi kanak-kanak atau remaja antara yang mendapat kesan langsung kemajuan atau pengecilan jurang ini dari aspek positif atau negatif.

Berdasarkan data firma kajian terkemuka, Statista menunjukkan kadar penetrasi digital untuk negara ini pada 2021 adalah 91 peratus dan tahun lalu direkodkan 94.5 peratus.

Berdasarkan perangkaan, negara akan mencatat kadar penetrasi digital mencecah 98 peratus bermula tahun depan, sekali gus merapatkan jurang digitalisasi antara bandar serta kawasan luar bandar.

Malah, jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara, Malaysia berada di kelompok tertinggi di belakang Singapura untuk kadar penetrasi internet ini dan ia satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

Perluasan dunia digital ini tidak hanya tertumpu kepada industri atau perniagaan saja, sebaliknya turut mempengaruhi segmen pendidikan apabila digitalisasi mengubah landskap pembelajaran.

Pastinya, kemajuan teknologi pada masa kini umpama 'pisau yang mempunyai dua mata' kerana ia memiliki kesan positif di samping aspek negatif termasuk akses maklumat yang berlebihan atau tidak sepatutnya.

Berdasarkan kepada satu dapatan Kaji Selidik Kepenggunaan Internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 2020 memperlihatkan peratusan peningkatan kanak-kanak serta remaja berusia lima hingga 17 tahun daripada 18.4 peratus pada 2016 kepada 47 peratus pada 2020.

Daripada satu sudut positif, ia menunjukkan penembusan digital dalam kalangan kanak-kanak tinggi, sekali gus satu premis ringkas boleh dibina iaitu kanak-kanak di negara ini mempunyai literasi teknologi yang tinggi.

NEGARA bakal mencatat kadar penetrasi digital mencecah 98 peratus bermula tahun hadapan.
NEGARA bakal mencatat kadar penetrasi digital mencecah 98 peratus bermula tahun hadapan.

Bagaimanapun, jika diperhalusi data berkenaan juga mendedahkan hanya 34.4 peratus ibu bapa saja menggunakan kawalan

peranti atau 'parental control' sebagai penghalang kanak-kanak melayari kandungan tidak sepatutnya.

Tempoh penggunaan internet melebihi lapan jam sehari meningkat kepada 11.5 peratus pada 2020 berbanding 8.1 peratus saja pada 2018.

Ibu bapa perlu memainkan peranan besar dengan mengehadkan tempoh waktu di skrin untuk kanak-kanak.

Mereka juga perlu melihat kandungan popular yang dilayari oleh anak mereka supaya mengetahui trend penggunaan peranti pintar berkenaan sekali gus mengelakkan akses kepada kandungan tidak sepatutnya.

Bayangkan tempoh kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa melayari Internet melebihi 18 jam sehari iaitu menghampiri tempoh seharian sebanyak 24 jam.

TEMPOH penggunaan internet dalam negara kian meningkat saban tahun.
TEMPOH penggunaan internet dalam negara kian meningkat saban tahun.

Berdasarkan data diperoleh, pengguna Internet kita pada 2020 adalah sebanyak 88.7 peratus, jika dilihat daripada satu aspek, ia sangat bagus apabila kadar penetrasi digital kita tinggi namun kita juga perlu lihat aspek negatif yang lain.

Berdasarkan perangkaan, kadar penetrasi internet itu meningkat sehingga lebih 89 peratus menjelang 2025 manakala jika kita lihat kepada purata penggunaan kuota data turut meningkat.

Kadar purata kuota data pada suku pertama tahun lalu adalah 25.7GB berbanding suku pertama 2019 hanya 16GB saja dan ini dilihat sejajar dengan peningkatan tempoh pengguna di ruang internet.

Laporan itu juga menyatakan ramai ibu bapa tidak menggunakan kawalan tempoh masa skrin anak mereka jadi ia umpama memberikan senjata kepada golongan ini.

Ringkasnya, gajet ini sebagai senjata, adakala ia membawa kepada aspek positif, ada ketika ia memberi keburukan jadi ibu bapa perlu memainkan peranan.

Memang perlu diakui, hampir semua maklumat sudah berada di ruang internet dan boleh diakses pada bila-bila masa, namun bagaimana jika tiada kawalan?

Bagaimanapun, wujud kemungkinan kanak-kanak ini akan mengakses kandungan tidak sepatutnya seperti pornografi dan sebagainya.

Ibu bapa mempunyai peranan yang besar pada era siber ini supaya mereka turut sama-sama celik teknologi supaya boleh memberi garis panduan kepada anak-anak kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 7:00 AM