ANTARA individu ditahan dalam serbuan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA individu ditahan dalam serbuan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan lapan individu selepas menyerbu sebuah premis di Jalan Landak Off Jalan Pudu, di sini semalam dipercayai menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas menerima maklumat awam.

"Semua tangkapan berusia 24 hingga 70 tahun termasuk tiga warga asing dipercayai penjaga premis berkenaan.

"Hasil serbuan polis merampas 12 tablet, tiga telefon bimbit, router, modem internet, kerusi, buku catatan dan wang tunai berjumlah RM919," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan, semua individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

"Polis akan terus meningkatkan serbuan dan tangkapan menerusi tindakan yang lebih tegas termasuk mengambil tindakan menerusi Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959 terhadap sindiket ini," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 10:08 AM