ANTARA individu warga asing yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan penipuan dalam talian menerusi serbuan di sebuah unit kondominium mewah di Medan Tuanku, Kuala Lumpur, semalam. FOTO IHSAN POLIS
ANTARA individu warga asing yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan penipuan dalam talian menerusi serbuan di sebuah unit kondominium mewah di Medan Tuanku, Kuala Lumpur, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan tiga warga asing termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit dengan kegiatan penipuan dalam talian menerusi serbuan di sebuah unit kondominium mewah di Medan Tuanku, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya membuat serbuan di lokasi terbabit 1.30 tengah hari selepas menerima maklumat daripada orang awam.

"Dalam serbuan itu, kami menahan dua lelaki serta seorang wanita yang juga warga asing berusia antara 36 hingga 42 tahun di kediaman berkenaan.

"Kami turut merampas 32 barangan membabitkan telefon bimbit, iPad (tablet), unit pemprosesan pusat (CPU) monitor komputer, tetikus, papan kekunci serta pemacu simpanan luaran (SSD) yang dipercayai digunakan bagi kegiatan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, siasatan awal dilakukan mendapati sindiket berkenaan menjalankan kegiatan penipuan dalam talian dengan menjadikan unit kondominium terbabit sebagai pusat operasi.

"Unit kondominium berkenaan dipilih kerana ia memiliki kawalan keselamatan 24 jam bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa selain menyukarkan kemasukan pelawat.

"Semua suspek yang ditahan direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 18 Februari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau menyeru orang ramai serta pihak pengurusan bangunan supaya tampil menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan termasuk penipuan dalam talian.

"Orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 4:54 PM