Polis menyerbu dua unit kediaman di Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, yang dijadikan lokasi ‘calling centre’ oleh sindiket penipuan tawaran kerja. FOTO Ihsan Polis
Polis menyerbu dua unit kediaman di Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, yang dijadikan lokasi ‘calling centre’ oleh sindiket penipuan tawaran kerja. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sindiket penipuan tawaran pekerjaan dalam talian dipercayai mampu menyewa kediaman mewah di tengah ibu kota hasil kegiatan mereka memperdaya mangsa.

Aktiviti sindiket terbabit yang menjadikan dua unit kediaman di Persiaran KLCC di sini, sebagai lokasi pusat panggilan berjaya dibongkar polis dalam serbuan tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan dilakukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 12.15 tengah malam.

Katanya, seramai 23 individu membabitkan 21 lelaki termasuk sembilan warga asing dan dua wanita warga asing berusia 18 hingga 52 tahun ditahan.

"Hasil siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi sejak hampir sebulan lalu dan menyasarkan mangsa di luar negara melalui aplikasi media sosial.

"Sindiket itu juga menggunakan profil peribadi palsu dan memperdaya mangsa dengan tawaran komisen tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata, polis turut merampas 31 telefon bimbit, komputer (14) dan masing-masing satu komputer riba, router, modem serta kad akses.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati dua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, kesemua individu yang ditahan itu direman empat hari sehingga 24 September ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 9:01 PM