11 individu disyaki ahli sindiket penipuan diberkas dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan PDRM
11 individu disyaki ahli sindiket penipuan diberkas dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Tawar kerja dalam talian sebelum memperdaya mangsa di luar negara membayar sejumlah wang.

Itu kegiatan dilakukan sindiket tawaran kerja dalam talian yang beroperasi di negara ini susulan serbuan dijalankan polis ke atas sebuah premis dijadikan pusat panggilan di Jalan Ampang, di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, petang semalam.

Menurutnya, seramai lapan lelaki dan dua wanita masing-masing seorang wanita tempatan dan asing ditahan.

"Walaupun beroperasi di ibu negara, modus operandi sindiket adalah menawarkan pekerjaan untuk mangsa warga asing di luar negara dengan tawaran kerja juga di luar negara.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 18 hingga 46 tahun dipercayai berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menawarkan pekerjaan dalam talian," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menyewa premis terbabit dan beroperasi selama hampir sebulan.

"Semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

"Kesemua suspek direman empat hari bermula 14 hingga 17 April," katanya.

Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 4:27 PM