Omar Ahmad


Johor Bahru: Polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah menerusi penahanan seorang lelaki dan merampas dadah bernilai RM2.39 juta di Taman Pelangi di sini, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan di tepi jalan sebelum pasukan menyerbu sebuah bilik yang disewa suspek di perumahan sekitar Taman Pelangi.

"Polis percaya suspek tidak bergerak sendirian dan masih mengesan saki-baki rakannya. Mereka menyasarkan pasaran di pusat hiburan dan orang perseorangan.

"Modus operandi adalah menjadikan bilik sewa sebagai stor simpanan dan tempat pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan.

"Sindiket menjalankan kaedah baru penjualan pelbagai jenis dadah dan tidak menumpukan hanya satu jenis dadah saja. Kegiatan ini dipercayai aktif sejak Februari tahun ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Kumar berkata, dalam serbuan itu, dadah yang dirampas ialah 231 peket serbuk ekstasi seberat 13.6 kilogram (kg) bernilai RM2.26 juta, 707 biji pil ekstasi (RM35,350), 2,465 biji pil erimin 5 (RM49,300), sembilan peket ketamin (RM36,385) dan tiga liter minuman mengandungi dadah bernilai RM3,000.

Katanya, polis turut menyita dua kereta dan wang tunai berjumlah RM650.

"Hasil saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis Methaphetamine dan Amphetamine. Suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah. Suspek direman tujuh hari sehingga 30 April ini.

"Hasil siasatan awal mendapati dadah yang dibungkus semula ini dipeketkan bersama serbuk minuman berjenama dan dijual pada harga antara RM150 hingga RM200 sepeket.

"Dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan seramai 62,063 penagih sekiranya terlepas ke pasaran," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 2:26 PM
 Ketua Polis Johor, M.Kumar menunjukkan lokasi serbuan kedua iaitu sebuah bilik sewa di perumahan Taman Pelangi di sini. FOTO OMAR AHMAD
Ketua Polis Johor, M.Kumar menunjukkan lokasi serbuan kedua iaitu sebuah bilik sewa di perumahan Taman Pelangi di sini. FOTO OMAR AHMAD