Antara individu yang ditahan dalam serbuan polis di sebuah kondo di Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam. Foto Ihsan PDRM
Antara individu yang ditahan dalam serbuan polis di sebuah kondo di Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam. Foto Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kegiatan satu sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di dua kediaman di sebuah kondominium di Jalan Ampang di sini, terbongkar dalam serbuan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya membuat serbuan berkenaan pada 8.30 malam bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

"Dalam serbuan itu, kami menahan 12 individu terdiri daripada dua wanita tempatan bersama tujuh lelaki dan tiga wanita warga asing berusia antara 23 hingga 38 tahun.

"Kami turut merampas 32 telefon bimbit, empat komputer riba, satu set modem dan beberapa barangan lain dipercayai digunakan untuk kegiatan terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata, siasatan dilakukan pihaknya mendapati premis berkenaan beroperasi sejak sebulan lalu.

"Siasatan awal dilakukan mendapati sindiket ini menjalankan kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud yang menyasarkan pelanggan luar negara.

"Sindiket terbabit dipercayai menyewa kediaman berkenaan pada kadar RM5,000 sebulan," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek berkenaan direman tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 8:25 PM