Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Warga emas cedera di kepala terkena atap rumah dalam kejadian puting beliung melanda Taman Bagan Kurnia, Chuah di sini, pagi hari ini.

Mangsa, Siti Mariam Abu, 86, dikatakan berada seorang diri di rumah ketika kejadian pada 10 pagi itu yang turut menyebabkan kira-kira 10 rumah mengalami kerosakan.

Menantu mangsa, Adilla Yunus, 44, berkata, dia bersama suami dan anaknya berada di luar kerana bekerja ketika kejadian itu.

Menurutnya, ibu mentuanya yang tinggal seorang diri ketika kejadian cedera di kepala dipercayai terkena atap rumah.

"Saya dan suami segera balik dan mendapati kepala ibu mentua cedera dan terus menghantarnya ke Klinik Desa berhampiran untuk menerima rawatan.

"Ini kali pertama kejadian ini (puting beliung) di kawasan ini dan berharap pihak kerajaan negeri dapat membantu membaiki bumbung rumah bagi meringankan beban kami yang menjadi mangsa keadaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Pemilik rumah, Shuhada Harris, 29, pula berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bilik bersama anak perempuan berusia dua tahun.

"Saya terdengar bunyi angin kuat hingga menyebabkan bumbung rumah diterbangkan dan siling jatuh di ruang tamu.

"Kejadian berlaku sekejap dan terus menghubungi suaminya yang sedang berkerja agar segera pulang kerana saya sangat bimbang ketika itu," katanya ketika ditemui di rumah sewanya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan kerana kejadian itu berlaku terlalu pantas.

"Saya juga sudah memaklumkan kejadian ini kepada tuan rumah berkenaan kerosakan akibat puting beliung dan berharap agar tindakan segera pembaikan dapat dilakukan kerana bimbang hujan lebat boleh menyebabkan banjir dalam rumah pula," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chuah Michael Yek Diew Ching berkata, pihaknya melalui kerajaan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Daerah Port Dickson akan membantu secepat mungkin bagi meringankan beban mangsa.

"Saya akan memantau perkembangan ini dan akan membantu mangsa ribut puting beliung yang mana saya difahamkan ini adalah kejadian pertama berlaku di kawasan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 5:34 PM
KEADAAN bumbung rumah mangsa, Adila yang rosak akibat puting beliung yang menyebabkan ibu mertuanya, Siti Mariam cedera di kepala ditimpa atap di Taman Bagan Kurnia, Chuah, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
KEADAAN bumbung rumah mangsa, Adila yang rosak akibat puting beliung yang menyebabkan ibu mertuanya, Siti Mariam cedera di kepala ditimpa atap di Taman Bagan Kurnia, Chuah, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria