BOMBA Miri menafikan berlakunya puting beliun seperti dipamerkan dalam gambar yang tersebar di laman sosial.
BOMBA Miri menafikan berlakunya puting beliun seperti dipamerkan dalam gambar yang tersebar di laman sosial.
Oleh Mohd Rizal Abdullah


Miri: Gambar fenomena puting beliung yang tersebar di laman sosial sejak petang tadi bukan berlaku di Miri seperti yang didakwa segelintir pengguna laman sosial.

Ketua Bomba Zon Miri Law Poh Kiong, menafikan berlaku puting beliung di kawasan Miri seperti yang tersebar di laman sosial.

"Saya tahu gambar itu sudah tersebar di laman sosial dan tidak tahu apa niat si penyebar berita kerana ia hanya menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.

"Bagaimanapun, angin kencang dan hujan lebat memang melanda bandar raya ini petang tadi," katanya.

Menurutnya, angin kencang dan hujan lebat yang berlaku lebih sejam antara 2 hingga 3.30 petang di bandar raya itu mengakibatkan pokok tumbang di kawasan Holiday Park, Servay Jaya dan Bakam, namun tiada sebarang tidak diingini berlaku.

"Selain beberapa batang pokok tumbang di lokasi kejadian, ada beberapa bumbung bangunan yang diterbangkan angin, termasuk atap jejantas pejalan kaki di sekitar bandar raya ini tetapi kejadian tidak serius. Setakat ini, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.

“Keadaan terkawal dan saya mengingatkan orang awam tidak percaya membuta tuli dengan penyebaran gambar mengenai kejadian ini di Internet, sebaliknya berhubung dengan pihak berkuasa terlebih dahulu supaya tidak menimbulkan situasi panik," katanya.

Harian Metro difahamkan, di Kampung Punang, Lawas, beberapa rumah penduduk terjejas apabila atap rumah mereka diterbangkan angin dan pokok tumbangm ketika ribut melanda kawasan berkenaan, petang semalam.

Dalam pada itu, Harian Metro dimaklumkan gambar rakaman puting beliung yang tersebar di Internet itu adalah rakaman kejadian ribut taufan di Toronto, Kanada pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 10:56 PM