Skuad Kilat Majlis Bandaraya Johor Bahru memberikan bantuan pembersihan dan pengalihan barangan yang rosak di lokasi terjejas di Kampung Pasir dan  Kampung Dato' Sulaiman Menteri. FOTO Facebook Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB)
Skuad Kilat Majlis Bandaraya Johor Bahru memberikan bantuan pembersihan dan pengalihan barangan yang rosak di lokasi terjejas di Kampung Pasir dan Kampung Dato' Sulaiman Menteri. FOTO Facebook Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB)
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Saya jadi seram sejuk melihat objek terbang di luar rumah, dalam sekelip mata angin berpusar itu bergerak laju ke arah rumah jiran," kata penduduk Kampung Dato' Sulaiman Menteri, Razak Abdul Rahim, 34.

Razak berkata, dalam kejadian 3.50 petang hari ini, hujan lebat disusuli angin kencang menyebabkan bumbung puluhan rumah dan premis perniagaan di kawasan perkampungan itu mengalami kerosakan.

Menurutnya, bencana itu umpama 'mimpi ngeri' apabila angin berpusar itu mengakibatkan beberapa objek termasuk kerusi terangkat naik atas bumbung.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan mangsa ribut mengalami kerugian apabila bukan saja mengakibatkan kerosakan bumbung malah barangan diletakkan di luar rumah serta premis perniagaan juga rosak.

"Biasanya saya dan ahli keluarga hanya menonton kejadian puting beliung di luar negara namun kini berdepan detik mencemaskan apabila melihat sendiri angin berpusar (seakan puting beliung) itu.

"Bagaimanapun kami bersyukur kerana penduduk di sini selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam bencana berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Johor Bahru turut melakukan pemantauan di sekitar lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 11:54 PM