Mohd Roji Kawi


Kuching : Hospital baharu Sri Aman dijangka dibuka lebih awal bagi menampung keperluan penduduk di bahagian Sri Aman, Betong, Lubok Antu dan Simunjan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, beliau sudah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah untuk meneliti pembukaan hospital bernilai RM180.8 juta itu dengan segera.

Beliau berkata, hospital itu yang dibina sejak 2016, kini sudah siap namun masih dalam tempoh percubaan untuk menilai beberapa aspek.

"Kita sedang usahakan untuk mengoperasikan hospital itu dengan seberapa segera.

"Jika tak boleh buka keseluruhan, kita operasikan sebahagian bangunan pun tak apa kerana kita berusaha mengurangkan beban hospital lain di kawasan berdekatan khususnya di Kuching untuk menerima pesakit dari kawasan Sri Aman," katanya selepas lawatan ke bangunan baharu Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, hari ini.

Kerja pembinaan hospital di kawasan seluas 20.6 hektar itu yang dilengkapi 1,310 bilik dan 108 katil bermula pada 2016.

Sementara itu, berhubung projek pembinaan Hospital Petra Jaya di sini yang gagal disiapkan sejak pembinaannya bermula pada 2013, Khairy berkata, kontraktor penyelamat sudah dilantik bagi meneruskan projek berkenaan.

Beliau berkata, ketika ini kontraktor baharu itu sedang melakukan kerja pembersihan yang ditinggalkan kontraktor terdahulu termasuk membaiki kawasan letak kereta bawah tanah yang dimasuki air, baru-baru ini.

"Kita harap kerja-kerja berjalan lancar dan jika tiada halangan, hospital itu dijangka beroperasi pada 2024," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 5:20 PM