GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Sarawak akan melaksanakan program imunisasi di kawasan pedalaman apabila bekalan vaksin satu dos, CanSino diterima esok dan lusa.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebaik diterima vaksin berkenaan akan terus dihantar ke lokasi program imunisasi itu khususnya di pedalaman bahagian Miri.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan kuantiti vaksin berkenaan yang diagihkan oleh Kerajaan Persekutuan.

"Kita akan melaksanakan program imunisasi itu terutamanya untuk masyarakat Penan yang tinggal jauh di pedalaman.

"Vaksin CanSino sesuai untuk mereka kerana ia hanya perlu disuntik sekali sahaja," katanya.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kesedaran Covid-19, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Sarawak bersedia untuk melaksanakan suntikan dos ketiga dan sudah membincangkannya dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

"Kita sudah menyediakan senarai penerima kalangan petugas barisan hadapan serta golongan berkomorbid," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Jawatankuasa Kerja Kesedaran Awam Covid-19 akan merangka pelan pendidikan kesedaran Covid-19 untuk dilaksanakan segera.

Jawatankuasa berkenaan yang diketuai Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) kini di peringkat akhir persiapan untuk melaksanakan program kesedaran Covid-19 di seluruh negeri dalam usaha mendepani era endemik wabak itu di Sarawak.

"Sekarang kita dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan di bawah pelan ini, sangat kritikal mesej kesedaran dan pendidikan kesihatan mesti disampaikan kepada akar umbi.

"Kita merasakan program pendidikan kesihatan ini perlu lebih intensif dan agresif dilakukan secara sistematik dengan itu rakyat boleh memahami situasi sekarang dan bagaimana mengadaptasi kepada norma baharu dengan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 9:04 PM