Fadillah Yusof (tengah) meninjau tapak projek pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Jalan Akses Ke Kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Majlis Penyerahan Sijil Kontraktor Penyiap Siri 4 Tahun 2021. FOTO BERNAMA
Fadillah Yusof (tengah) meninjau tapak projek pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Jalan Akses Ke Kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Majlis Penyerahan Sijil Kontraktor Penyiap Siri 4 Tahun 2021. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuching: Sebanyak 15 projek infrastruktur Kementerian Kerja Raya di Sabah dan Sarawak diklasifikasikan sebagai projek 'sakit' yang lewat pembinaan serta gagal siap mengikut jadual.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara projek itu adalah pembinaan Hospital Petra Jaya (HPJ) di Sarawak yang terbengkalai sebelum ini.

Beliau berkata, kontraktor penyiap baharu juga sudah dan akan dilantik kementeriannya bagi menyiapkan projek itu.

"Di Sabah dan Sarawak terdapat 15 projek sakit yang sudah dibatalkan kontraknya dan akan dilantik kontraktor penyiap yang akan menyelesaikan projek itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah projek pembinaan jalan akses ke kawasan selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini, hari ini.

Pada 26 September, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kontraktor penyelamat sudah memulakan projek menyiapkan baki kerja terbengkalai HPJ sejak awal tahun ini dan hospital berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024.

Mengenai jalan baharu ke KIA itu, Fadillah berkata, ia membabitkan pembinaan jalan sepanjang 6.2 kilometer dari persimpangan Stutong hingga ke persimpangan Bukit Berangan di sini.

Beliau berkata, projek bernilai RM112.9 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2024.

"Projek ini amat penting bagi menangani trafik di kawasan sekitarnya kerana kawasan ini sering menjadi tumpuan kenderaan yang datang dari Samarahan, Serian serta bandar Kuching sendiri.

"Pembinaan jalan baharu ini juga diharap dapat membantu menjana ekonomi penduduk tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 2:31 PM