KEADAAN di Kuching dengan kualiti udara menunjukkan tahap tidak sihat. FOTO L Manimaran
KEADAAN di Kuching dengan kualiti udara menunjukkan tahap tidak sihat. FOTO L Manimaran
Mohd Roji Kawi


SARAWAK merayu Kerajaan Persekutuan di Putrajaya untuk lebih bertegas dengan Jakarta agar negara jiran itu mengambil tindakan segera menangani kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu teruk di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan itu dan berharap masalah jerebu dapat diatasi dengan segera.

“Sekarang kami (Sarawak) menyerahkan kepada Kuala Lumpur untuk berbincang dengan pihak berkuasa Indonesia di Jakarta berhubung isu jerebu rentas sempadan itu.

“Kami amat berharap agar tindakan segera diambil Jakarta untuk menangani masalah kebakaran hutan dan kita bimbang kerana lebih 1,000 tompok panas dikesan di negara itu dengan sebahagian besarnya di Kalimantan yang bersempadan dengan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perjumpaan Penerima Bantuan UNIFOR Bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg di Kuching, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di bandar raya Kuching mencecah lebih 200 hari ini, prosedur operasi standard (SOP) bencana jerebu akan diaktifkan di negeri ini.

“Mengikut SOP yabg ditetapkan, apabila IPU melebihi 200, Pengarah Pendidikan negeri serta Pengetua dan Guru Besar diberi kuasa untuk mengarahkan penutupan sekolah.

“Hari ini, JPBN juga sudah mengagihkan topeng mulut untuk diedarkan ke sekolah-sekolah,” katanya.

Berdasarkan laman Web Jabatan Alam Sekitar (JAS), IPU di Kuching mencapai tahap sangat tidak sihat iaitu 216 pada 2 petang.

IPU di Kuching terus meningkat bermula dengan 202 pada 7 pagi tadi.

Stesen lain yang masih mencatatkan IPU sangat tidak sihat ialah Samarahan (199), Sri Aman (178), Sarikei (134), Miri (150) dan ILP Miri (115).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 5:57 PM