GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Hujan lebat kategori kuning diramal melanda beberapa bahagian di Sarawak mulai hari ini hingga Selasa ini.

Berdasarkan maklumat laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) kawasan yang diramal menerima hujan lebat tahap waspada itu ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Berikutan itu, semua penduduk di lapan kawasan terbabit dinasihatkan supaya berwaspada kerana dikhuatiri berlaku banjir.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, semua agensi penyelamat di seluruh negeri khususnya di kawasan berisiko sudah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Beliau berkata, pihaknya turut memantau situasi semasa dan sedia menggerakkan pasukan penyelamat bila-bila masa.

"Seperti yang dijelaskan Pengerusi JPBN (Datuk Amar Douglas Uggah Embas) sebelum ini, kami kini diletakkan dalam keadaan siap siaga sepenuhnya.

"Anggota dan aset sedia digerakkan jika banjir berlaku di negeri ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak pula, sudah menyediakan 13 pangkalan hadapan bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir di negeri ini.

Pangkalan hadapan diwujudkan bagi membantu mangsa banjir yang jauh dari kawasan penyediaan makanan agar mereka sentiasa mendapatkan bekalan makanan kering dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 4:59 PM