Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: "Banyak kerja yang menanti apabila banjir surut kelak," kata Muhammad Khusairi Jalil, 18, mangsa banjir dari Kampung Rangkaian Lubuk Jaya di sini.

Dia dan keluarganya antara 54 mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Belimbing selepas rumah dilanda banjir pada 22 September lalu.

Menurutnya, banjir yang berlaku secara tiba-tiba menyebabkan dia dan keluarga tidak tidur malam untuk memantau situasi dan memindahkan barangan berharga ke tempat tinggi selepas mendapati hujan lebat selama beberapa hari.

Katanya, mereka membuat keputusan untuk berpindah demi keselamatan apabila air melimpah ke dalam rumah mulai 6 pagi, 22 September.

"Kami dimaklumkan kini air banjir semakin surut dan bercadang untuk membersihkannya sebelum pulang. Tidak tahu berapa banyak pula sampah dan sisa yang perlu dibersihkan," katanya.

Dia juga memberitahu sentiasa berwaspada kerana bimbang banjir sama berulang.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar yang melawat dan memberi sumbangan kepada mangsa banjir di PPS itu memaklumkan, bencana berlaku susulan ban pecah di tepi sungai kampung berkenaan.

Katanya, ia diburukkan dengan hujan lebat dan menyebabkan kediaman penduduk di kawasan rendah paling terjejas.

Noh Omar (kanan) melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Bukit Belimbing, petang semalam. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Noh Omar (kanan) melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Bukit Belimbing, petang semalam. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 10:20 AM