Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Sebanyak 287 rumah rosak akibat kejadian ribut dan angin kencang di beberapa kawasan di Parlimen Tanjong Karang di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 2 hingga 4 pagi itu menyebabkan kawasan di Batu 7, Sawah Sempadan, Tali Air 1-3, Sungai Sireh, Jalan Bernam, Sungai Burong dan Bagan Tengkorak terjejas.

Turut terkesan adalah Batu 9, Parit 2, Parit 3, Parit 4, Kunci Air Buang, Kampung Haji Razali dan Sungai Kajang.

Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya menjangka lebih ramai mangsa akan tampil membuat laporan polis susulan bencana itu.

Selain itu, katanya, beberapa kawasan sawah di sekitar Parlimen itu juga turut terjejas.

"Kita dalam proses mencari mangsa bencana untuk mengenal pasti kerosakan dan kerugian yang dialami.

"Selepas itu, bantuan akan disalurkan sebaik sahaja memperoleh jumlah keseluruhan serta nilai kerugian dialami mangsa," katanya, hari ini.

Noh Omar (tengah) menyampaikan sumbangan bantuan Kerajaan Persekutuan kepada mangsa banjir Disember lalu di Dewan Datuk Penggawa Permatang, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Noh Omar (tengah) menyampaikan sumbangan bantuan Kerajaan Persekutuan kepada mangsa banjir Disember lalu di Dewan Datuk Penggawa Permatang, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan bantuan Kerajaan Persekutuan kepada mangsa banjir Disember lalu di Dewan Datuk Penggawa Permatang di sini.

Di majlis itu, seramai 5,993 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan barangan keperluan asas berjumlah RM2,500.

Noh yang juga berkata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) berkata, sebanyak RM20.97 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan kepada mangsa banjir di daerah Kuala Selangor.

Menurutnya, beliau menjangka majoriti mangsa akan hadir mengambil bantuan ini.

"Sekiranya mangsa tidak hadir, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan menghubungi untuk mendapatkan akaun bank bagi proses memasukkan wang ke dalam akaun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 5:35 PM